fbpx

Seni budaya 18 etnik orang asli ke peringkat antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSNAN (kiri) bersama Ramli (dua dari kiri) dan Leong Yu (empat dari kiri) merasmikan Festival Kesenian Peribumi Malaysia di Dataran Temerloh di Temerloh, malam semalam.

TEMERLOH – Seni dan budaya masyarakat orang asli di negara ini akan diangkat ke peringkat antarabangsa melalui penganjuran Festival Kesenian Peribumi Malaysia (Feskep) peringkat antarabangsa yang akan diadakan pada tahun hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Rosnan Nordin berkata, penganjuran yang akan dibuat di Temerloh itu melibatkan penyertaan daripada masyarakat peribumi seluruh dunia seperti Kanada, Australia, New Zealand, Filipina, dan pelbagai negara lagi.

“Tahun hadapan kita akan bekerjasama dengan negara Asean dan festival ini akan jadi peringkat antarabangsa yang mana kita akan dapatkan penyertaan negara luar.

“Keunikan kita adalah dalam nilai seni dan budaya yang mana dalam festival ini kita akan memperkenalkan budaya 18 etnik orang asli yang ada di Semenanjung,”katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Festival Kesenian Peribumi Malaysia di Dataran Temerloh, malam semalam.

Menurut Rosnan, lokasi penganjuran festival berkenaan yang akan diadakan di Temerloh amat sesuai memandangkan ia terletak di titik tengah Semenanjung dan di tengah laluan antara Kuala Lumpur dan Kuantan.

Beliau memberitahu penganjuran Feskep di Temerloh bermula 19 Julai hingga 21 Julai lalu yang melibatkan 197 peserta dan 18 etnik orang asli telah merekodkan lebih 30,000 pengunjung setakat ini.

Dalam pada itu, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor berkata, penganjuran festival berkenaan di peringkat antarabangsa amat signifikan dalam memperkenalkan budaya orang asli di negara ini.

Beliau berkata, keunikan budaya orang asli yang ada di Semenanjung mampu menarik minat dan perlu dipromosikan serta didedahkan kepada masyarakat dalam dan luar negara.

“Budaya orang asli ini unik, orang asli di Semenanjung terdapat 18 suku kaum, jadi 18 suku kaum ini mempunyai bahasa dan budaya berbeza, jadi keunikan ini perlu dipromosikan serta diperkenalkan,”katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan, Seni dan Budaya Pahang, Leong Yu Man berkata, kerajaan negeri menyambut baik dan menyokong penganjuran festival orang asli peringkat antarabangsa di negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa mengangkat martabat budaya orang asli di negeri ini malah mempromosikan seni budaya masyarakat itu dalam aktiviti pelancongan negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI