fbpx

Protes Bangladesh: Evakuasi pelajar Malaysia jika keadaan mendesak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Pelajar Malaysia yang terkesan susulan insiden protes di Bangladesh kini dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, demi keselamatan mereka.

Kementerian Luar berkata, pihak Suruhanjaya tinggi di sana turut mempertimbangkan semua opsyen yang ada termasuk evakuasi jika perlu berdasarkan penilaian terhadap situasi semasa.

“Kementerian memahami kebimbangan rakyat Malaysia terhadap keselamatan ahli-ahli keluarga mereka di Bangladesh.

“Kementerian sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi serta agensi lain yang berkaitan dalam usaha membantu pelajar Malaysia di Bangladesh,” katanya, hari ini.

Pada masa sama, Wisma Putra memohon semua pelajar Malaysia agar berhubung dan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Katanya, Bilik Operasi telah dibuka di kementerian dan boleh dihubungi di nombor telefon +603-8887 4570 atau emel [email protected].

“Rakyat Malaysia juga digesa agar berhati-hati terhadap individu yang menjanjikan bantuan untuk rakyat Malaysia di Bangladesh. Lakukan semakan dengan menghubungi Bilik Operasi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri menggesa semua rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh untuk mengelakkan kawasan protes, kekal berwaspada, dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa tempatan.

Ia selaras dengan perintah berkurung yang sedang berkuat kuasa dan pihak kementerian ini memantau rapat situasi ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, Wisma Putra mengesahkan kesemua 95 pelajar Malaysia di Dhaka, Bangladesh kini berada dalam keadaan selamat susulan insiden protes rakyat di negara berkenaan.

Ribuan pelajar membanjiri ibu kota Bangladesh sebagai protes terhadap sistem kuota dalam pekerjaan di sektor kerajaan, ketika jutaan penduduk masih dibelenggu masalah pengangguran.

Aksi tunjuk perasaan semakin memuncak apabila berlaku kematian dalam kalangan peserta protes, malah, situasi menjadi lebih tragis apabila angka kematian terus meningkat dengan kematian tertinggi direkodkan pada Khamis.

Dalam tempoh sehari, sekurang-kurangnya 32 maut dalam pertempuran itu, menjadikan angka keseluruhan kematian meningkat 39 orang.

Independent Television melaporkan, seramai 702 orang cedera semasa pertempuran, termasuk 104 pegawai polis dan 30 wartawan.

Rangkaian stesen penyiar swasta itu melaporkan, pertempuran kini semakin meluas dan merebak di 26 dari 64 daerah di negara itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI