GUA MUSANG – Jumlah pengusaha atau pekebun tanaman durian musang king khususnya dalam kalangan golongan bumiputera masih kurang di daerah ini.
Pengerusi Persatuan Pelabur Pertanian Gua Musang, Lim Chin Chee, 73, berkata, setakat ini pihaknya berjaya mengumpul lebih 1,000 pekebun durian yang berdaftar di bawah persatuan itu dan sebahagian besarnya merupakan kaum Cina.
Katanya, kesemua mereka terdiri daripada individu dan syarikat yang mengusahakan tanah seluas lebih 4,000 hektar bagi penanaman durian musang king di daerah ini.
“Kami menyeru semua pekebun terutamanya golongan bumiputera di Gua Musang untuk sama-sama memperluaskan pengeluaran durian musang king untuk pasaran domestik dan luar negara,” katanya ketika ditemui pemberita pada Pertandingan Durian Musang King di Dewan Tokong Pulai, di sini semalam. – KOSMO! ONLINE