CYBERJAYA – Pengguna diminta untuk memuat turun aplikasi ‘Price Catcher’ bagi membantu Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan kedai atau peniaga yang mengenakan harga jualan terlalu tinggi.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam masa sama, turut menggesa ahli Komuniti Madani berbuat tindakan sama agar dapat memaklumkan kepada pegawai penerangan daerah yang bertugas di komuniti masing-masing sekiranya mengesan kenaikan harga barang secara mendadak.
Katanya, melalui aplikasi itu juga membolehkan pengguna membuat perbandingan harga bagi setiap pilihan barangan yang dicari.
“Maklumkan di tempat masing-masing apa produk yang ada, apa kesukaran, supaya kita boleh bekerjasama dengan KPDN untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga barang.
“Inilah antara fungsi dan tugas kita sebagai komuniti Madani,” katanya dalam pertemuan dengan kira-kira 2,000 ahli Komuniti Madani dalam satu sesi bersempena majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024, di sini hari ini.
Aplikasi Price Catcher yang dibangunkan oleh KPDN itu memaparkan harga 480 barangan terpilih di pasar basah, pasar raya besar, pasar raya, pasar mini dan kedai runcit yang dipantau.
Terdapat enam kategori barangan yang dipantau iaitu barangan segar, barangan kering, barangan berbungkus, susu dan barangan bayi, produk kebersihan serta minuman.
Dalam pada itu, Fahmi berharap Komuniti Madani yang juga badan sukarela membabitkan pelbagai kaum dan latar belakang itu dapat memainkan peranan lebih serius dalam memantau harga barang, terutama selepas kenaikan gaji penjawat awam pada Disember nanti.
Komuniti Madani yang ditadbir urus Jabatan Penerangan Malaysia ditubuhkan sejak Jun tahun lepas, berperanan membantu menggerakkan komunikasi kerajaan dengan lebih berkesan. – KOSMO! ONLINE