fbpx

MT Ceres I dijumpai, dua bot tunda disyaki bawa lari kapal ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAPAL MT Ceres 1 yang berjaya ditemui kapal OPV KM Pekan di kedudukan 28 batu nautika timur laut Pulau Tioman, Pahang, awal pagi hari ini.

KOTA TINGGI – Kapal MT Ceres 1 yang dipercayai lari meninggalkan lokasi kejadian selepas insiden perlanggaran dengan kapal tangki MT Hafnia Jumaat lalu, berjaya ditemui di kedudukan 28 batu nautika timur laut Pulau Tioman, Pahang awal pagi, hari ini.

Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, kapal tangki yang berdaftar dari Republik Demokratik Sao Tome and Principe itu ditemui dengan dua buah bot tunda sedang menunda kapal tersebut.

Katanya, kapal peronda luar pesisir (OPV) KM Pekan milik APMM telah berjaya mengesan dan memintas kapal tangki MT Ceres 1 sekitar pukul 1.20 pagi semalam.

Menurutnya, pihaknya turut menahan kedua-dua buah bot tunda terbabit yang disyaki terlibat dalam membawa lari kapal tangki MT Ceres 1.

“Pihak APMM dengan kerjasama pihak Jabatan Laut Malaysia (JLM) akan melaksanakan siasatan lanjut insiden kejadian dengan penemuan semula kapal MT Ceres 1 ini.

“Sementara itu hasil tinjauan udara pesawat amfibia Bombardier CL 415 MP milik APMM yang telah menjalankan tinjauan udara semalam menemui sedikit kesan tumpahan minyak di lokasi kejadian.

“Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dimaklumkan mengenai penemuan ini dan akan melakukan pemantauan lanjut dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan kapal MT Ceres 1 yang terlibat dalam insiden perlanggaran tersebut dilaporkan hilang gagal dikesan dan dipercayai melarikan diri selepas kejadian itu.

Kesemua 22 kru kapal MT Hafnia Nile yang membawa muatan bahan kimia jenis Naptha dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Jepun turut selamat dan menerima rawatan lanjut di Singapura selepas diselamatkan kapal Tentera Laut Singapura susulan pelanggaran itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI