PETALING JAYA – “Menang atau kalah, rakyat tetap cari UMNO dan Barisan Nasional (BN),” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Zambry yang juga Setiausaha Agung BN berkata, keunikan itu ada pada UMNO dari dulu hingga sekarang kerana susah untuk UMNO berkata tidak kepada rakyat.
“Hingga sekarang, UMNO dan BN masih seperti dahulu. Menang atau kalah, rakyat tetap cari UMNO dan BN. Susah atau senang kita tetap bantu dan beri khidmat kepada rakyat. Inilah uniknya UMNO,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.
Terdahulu, Zambry berkata, perkara itu antara yang beliau bangkitkan ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras semalam.
Katanya, beliau turut membangkitkan tentang UMNO sebuah parti politik yang bukan biasa-biasa telah melalui pelbagai gelombang, onak dan duri, suka dan duka.
Kata beliau, UMNO pernah diharamkan suatu ketika dahulu, namun UMNO juga pernah mentadbir kerajaan membawa Malaysia di persada dunia dan berada antara negara-negara terbaik dunia.
“UMNO juga pernah ditolak sehingga tinggal 26 kerusi Parlimen sahaja sekarang. Namun, percaya atau tidak inilah susunan dan takdir Allah SWT.
“Walaupun berbekalkan hanya 30 kerusi, BN yang dianggotai oleh 26 UMNO, 2 MCA, 1 MIC dan 1 PBRS, diperlukan untuk menganggotai barisan Kerajaan Perpaduan atas titah Yang diPertuan Agong ketika itu.
“Semuanya bersandarkan titah dan juga bermatlamatkan untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE