KOTA TINGGI – Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi Pantai Batu Layar di sini bersama sahabatnya berjaya ditemui 50 meter dari persisir pantai petang tadi.
Mangsa Muhammad Syahmie Zamzam, 26, ditemui oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 3.15 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata hasil pemerhatian di lokasi mendapati mayat mangsa ditemui dalam jarak lebih kurang 1,500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa yang ditemui telah dicamkan secara positif oleh waris mangsa dan mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi untuk prosedur siasatan lanjut.
“Manakala usaha mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa yang masih hilang masih diteruskan di lokasi. Kes ini disiasat dan diklasifikasi sebagai Orang Hilang (OH) dan Laporan Mati
Mengejut (LMM),” katanya dalam kenyataan hari ini.-KOSMO! ONLINE