BEIJING – Seorang pesakit kanser di Taiwan terlepas peluang terakhir untuk bertemu dengan keluarga selepas ambulans yang membawanya pulang dihalang oleh kenderaan lain, lapor laman berita South Morning China Post semalam.
Lelaki berusia 18 tahun itu menghidap penyakit kanser tahap akhir. Dia dilaporkan meninggal dunia sebelum dapat menghabiskan saat terakhirnya bersama orang tersayang.
Hasrat terakhirnya musnah apabila ambulans yang membawanya dihalang oleh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).
Lebih teruk, pemandu itu tidak berganjak meskipun mendengar bunyi siren dan lampu mata arah.
Menurut abang mangsa, dia mengalami tekanan intrakranial, menyebabkan ambulans tidak boleh menukar lorong sebarangan kerana berisiko memburukkan lagi keadaannya.
Susulan itu, keluarga mangsa memutuskan untuk memuat naik rakaman video di media sosial yang memaparkan nombot plat kenderaan tersebut.
Mereka juga berusaha untuk mencari pemandu terbabit.
“Jika pemandu SUV ini gagal menyerah diri, dia boleh didenda NT$3,600 (RM514.81) dan lesen memandunya akan dibatalkan serta-merta,” kata polis. – AGENSI