MANCHESTER – Manchester United berjaya mendapatkan ‘kereta kebal’ yang dihajati selepas menandatangani pertahanan muda, Leny Yoro dengan nilai perpindahan keseluruhan sebanyak £52 juta (RM314.5 juta) dengan kontrak lima tahun semalam.
Sebagai rekod, United terdesak untuk mencari pertahanan baharu bagi menggantikan posisi Raphael Varane yang tamat kontrak musim lalu sebelum terpaksa bersaing dengan Real Madrid bagi mendapatkan khidmat Yoro.
Pemain yang baru berusia 19 tahun dianggap sebagai salah seorang prospek masa depan Perancis apabila tampil menyerlah bersama kelab Lille apabila membuat 60 penampilan dalam skuad utama sebelum ini.
Kata Yoro, peluang untuk mewakili kelab yang memiliki skala besar seperti United adalah sesuatu yang sukar untuk ditolak dan berharap dapat memberikan yang terbaik ketika mewakili skuad kendalian Erik ten Hag nanti.
“Saya cukup bertuah apabila dapat menyertai kelab gergasi seperti United pada awal karier profesional. Sejak berhubung baru-baru ini, mereka menjelaskan tentang projek jangka panjang dan saya tidak sabar untuk beraksi pasukan bermula musim ini.
“Saya tahu mengenai sejarah pemain muda di Manchester United dan saya fikir ia adalah tempat terbaik untuk saya mencapai potensi dan mengejar cita-cita. Saya tidak sabar untuk menyertai rakan-rakan pasukan baharu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Sukan United, Dan Ashworth menganggap kelab The Red Devils seperti mendapat ‘jackpot’ apabila Yoro bersetuju untuk menerima tawaran beraksi di Stadium Old Trafford untuk jangka panjang.
“Yoro adalah pemain muda berpotensi dan berpeluang untuk menjadi salah seorang pertahanan terbaik dunia. Saya percaya United mampu membentuk Yoro agar mempamerkan prestasi yang lebih berkualiti pada masa depan,” katanya.
Yoro adalah pemain kedua yang ditandatangani United pada musim ini selepas penyerang Belanda, Joshua Zirkzee dan kini dilaporkan memburu tonggak tengah Uruguay, Manuel Ugarte. – AGENSI