PETALING JAYA – Isteri pelawak popular, Shuib iaitu Watie Hanifiah, 36, mendedahkan beliau pernah membuat pembedahan hidung sebanyak enam kali gara-gara diejek sejak di bangku sekolah.
Watie atau nama sebenarnya, Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah berkata, kutukan tersebut yang menyebabkannya mengalami tekanan melampau membuatkan beliau nekad untuk membuat pembedahan.
“Untuk pengetahuan semua, hidung ini adalah hidung palsu sebab Watie takda batang hidung. Jadi, di sekolah dahulu, ada zaman di mana selalu diejek dengan gelaran ‘Fati bawang’ sebab hidung penyek.
“Selalu kena buli dan menangis. Masuk sekolah menengah lagi teruk kena sampai tahap berazam, habis sahaja sekolah, aku cari duit nak buat hidung,” katanya.
Watie berkata demikian dalam sesi Dol’s Podcast yang dikendalikan Shuib Sepahtu atau Shahmira Muhammad bersama Shuk Sahar dan Fizie Roslan yang dimuat naik di YouTube, semalam.
Dalam pada itu, Watie berkata, antara sebab lain beliau membuat pembedahan hidung adalah kerana menghidapi sinus atau resdung yang teruk.
“Kalau siapa yang kenal Fati bawang memang tahulah yang hidung sentiasa tersumbat. Sampai pernah rasa kepala nak pecah dan gigi nak tercabut ketika penerbangan sebab tekanan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Watie memberitahu, beliau juga pernah mengalami jangkitan kuman akibat pembedahan sehingga mengakibatkan hidungnya hampir dibuang.
Bagaimanapun, katanya, dia masih sanggup untuk terus membuat perubahan ke atas hidungnya disebabkan tekanan yang dihadapi sejak dari kecil.
“Hidung yang sekarang pun tak berapa cantik tapi ini adalah kali yang ke-enam. Sebenarnya, dulu Watie tak tahu apa itu ‘depression’. Tak nak keluar (rumah) sebab rasa diri macam buruk sangat.
“Jadi, duduk dalam bilik menangis dan bila kita ‘post’ (muat naik) gambar orang cakap hidung. Kita akan rasa tekanan. Benda-benda macam itulah kita jadi macam nak mengubah,” ujarnya.
Jelas Watie, kesemua pembedahan hidungnya dibuat di Thailand dengan anggaran kos berjumlah kira-kira RM30,000. – KOSMO! ONLINE