KUANTAN – Gara-gara takutkan ‘polis’ seorang guru mengalami kerugian sebanyak RM135,150 selepas terpedaya dengan helah suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai Jabatan Komunikasi Digital.
Akibat takut dikenakan tindakan, guru berusia 25 tahun di Rompin itu juga sanggup membuat pinjaman peribadi sebanyak RM128,000 untuk melunaskan bayaran yang diminta suspek.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 2 Julai lalu selepas mangsa menerima panggilan telefon dari individu yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Komunikasi Digital.
“Suspek kemudiannya menyatakan bahawa nombor telefon yang digunakan oleh mangsa telah menyebarkan pautan yang tidak sah di kawasan negeri Perak.
“Panggilan telefon tersebut telah disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dan suspek meminta mangsa membuat pemindahan wang bagi tujuan siasatan,” katanya.
Menurutnya mangsa menggunakan wang pinjaman peribadi dan wang simpanan untuk membuat 11 transaksi ke enam akaun bank berlainan sehingga mengalami kerugian berjumlah RM135,150.
Katanya, mangsa mula menyedari ditipu apabila membuat semakan di aplikasi Google berkaitan penipuan dalam talian.
“Pihak polis kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE