fbpx

Perak cipta kemenangan sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Skuad Perak julang trofi kemenangan sulung pada Kejohanan Hoki 5s Kebangsaan, hari ini. -Foto MUHD HAZIQ (MHC)

KUALA LUMPUR – Skuad hoki lima sebelah (5s) Perak mencipta kejutan dengan meraih kemenangan sulung mereka dalam perlawanan akhir menentang juara bertahan, Pahang di Kejohanan Hoki 5s Kebangsaan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil petang tadi.

Perak yang pernah menang 5-0 ke atas Pahang dalam pertemuan peringkat Kumpulan A sebelum ini sekali lagi menundukkan bekas juara edisi lepas dengan kemenangan 4-1 dalam aksi final.

Pada aksi final, Mohamad Ashran Hamsani membuka tirai jaringan pada minit ketiga dan ke-13 diikuti dengan Azmilmuizzusin Misron pada minit ke-12 sebelum Muhammad Fahmi Khalid melengkapkan kemenangan pada minit ke-14.

Jurulatih Perak, Muhammad Husaini Husin yang ditemui media selepas perlawanan meluahkan rasa bangga dengan prestasi cemerlang pasukannya walaupun buat kali pertama menyertai kejohanan edisi ketiga itu dan mendedikasikan kemenangan sulung tersebut kepada skuadnya.

“Syukur Alhamdulillah kerana kami dapat menjuarai kejohanan hoki 5s ini. Kredit seharusnya diberikan kepada pemain kerana mereka memberikan segalanya untuk perlawanan akhir hari ini. Walaupun terdapat kekurangan dan kecederaan, mereka tetap memberikan seratus peratus untuk memenangi perlawanan pada hari ini.

“Ini adalah kali pertama kami menyertai hoki 5s setelah tiga edisi dan persiapan kami hanya berlangsung selama beberapa hari sebelum kejohanan. Semua pemain juga pertama kali bermain dalam kejohanan ini,” kata Husaini.

Walaupun Pahang beberapa kali cuba menembusi gawang Perak, namun pasukan berstatus ‘underdog’ itu berjaya mematahkan serangan dan pihak lawan hanya mampu menjaringkan satu gol menerusi Shafiq Ikhmal pada minit ke-15.

Walaupun menyertainya buat kali pertama, namun pengalaman para pemain yang pernah mewakili Malaysia dalam skuad hoki padang dan kejohanan dalam dewan menjadi bekalan buat pasukan untuk mendominasi perlawanan.

Sementara itu, dalam aksi final wanita, skuad hoki Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut meraikan kemenangan sulung selepas menundukkan Kuala Lumpur dengan keputusan 3-1.

Kemenangan tersebut dicapai menerusi jaringan pembukaan Wan Norfaeizah pada minit ketiga dan ke-11 serta gol pelengkap kemenangan oleh Norazlin Sumanti pada minit ke-18. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI