MARSEILLE- Penyerang kelahiran England, Mason Greenwood akhirnya melebarkan sayap ke Perancis selepas bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh kelab, Olympique Marseille dengan menandatangani kontrak lima tahun semalam.
Marseille telah mengeluarkan dana keseluruhan sebanyak £30.2 juta (RM182.7 juta bagi mendapatkan khidmat pemain berusia 23 tahun itu daripada kelab gergasi England, Manchester United selain memberikan jersi No. 10 kepadanya.
Greenwood sebelum ini telah membuat 129 penampilan dan menjaringkan 35 gol bersama The Red Devils, tetapi kariernya terjejas ekoran jenayah berat yang dilakukan pada awal 2022 sebelum tuduhan tersebut digugurkan tahun lalu.
Greenwood berjaya menghidupkan semula kariernya apabila mempamerkan aksi konsisten ketika dipinjamkan selama semusim ke kelab La Liga, Getafe sehingga dianggap pemain terbaik pasukan itu dengan menjaringkan 10 gol keseluruhan.
Bekas pemain antarabangsa The Three Lions yang pernah menyarung jersi Marseille, Joey Barton percaya Greenwood sudah membuat keputusan yang tepat untuk berkelana ke luar negara berbanding kekal sehingga dicemuh di England.
“Ini adalah perkembangan positif buat Greenwood kerana dia menjadi mangsa kecaman yang teruk di negara sendiri sejak beberapa tahun lalu. Semua orang harus sedar tiada siapa yang sempurna dan kita sering melakukan kesilapan.
“Namun, tiada siapa boleh menafikan fakta dan statistik bahawa Greenwood juga antara pemain terbaik negara ini dan setanding dengan semua bintang yang mewakili skuad England pada Euro 2024 lepas,” katanya. – AGENSI