KEPRIHATINAN Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terhadap rakyat merupakan antara kelebihan yang menjadikan baginda disayangi dan disanjungi.
Sifat itu juga diterapkan kepada Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dan anakanda baginda berdua yang kini turut meneruskan usaha untuk membantu mensejahterakan rakyat.
Penglibatan baginda dalam kerja-kerja menyantuni rakyat dapat dilihat daripada usaha-usaha yang dilakukannya di negeri Johor sepanjang menaungi negeri itu.
Antara usaha yang pernah dilaksanakan oleh baginda dalam mencapai keluh kesah rakyat serta menyalurkan bantuan adalah menerusi Program Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2001.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Johor yang juga ketua Sekretariat KMJ, Kolonel (B) Datuk Mohamed Perang Musa, program berkenaan telah memberi pelbagai limpahan manfaat terutama buat rakyat di negeri Johor.
“KMJ adalah satu kesinambungan yang dirancang serta sangat penting khususnya kepada amalan dan tradisi Kesultanan Johor.
“Damping rakyat adalah matlamat utama program ini yang mana Sultan Ibrahim sendiri turun padang mendengar keluh kesah rakyat dan memberikan bantuan yang sesuai keperluan mereka,” katanya ketika dihubungi K2.
Tambah beliau, sepanjang berlangsungnya KMJ, pelbagai projek telah dilancarkan dan dirasmikan, malah keadaan infrastruktur seperti jalan, jeti, jambatan selain bekalan air dan elektrik turut dinaik taraf.
Kemudahan awam dan riadah untuk rakyat juga dibina seperti masjid, sekolah dan hospital, selain rakyat dapat bersua muka dengan Ke Bawah Duli Tuanku dan keluarga diraja.
Kongsinya lagi, KMJ merupakan program yang menjadi sebahagian dalam pentadbiran kesultanan Johor, namun begitu untuk tahun 2024 program tersebut terpaksa ditangguhkan kerana pelantikan Ke Bawah Duli Tuanku sebagai YDPA serta kerja-kerja persiapan untuk Pertabalan YDPA.
Selain program KMJ, saluran bantuan kepada rakyat turut dilaksanakan menerusi pengurusan Yayasan Sultanah Fatimah (YSF) yang dipengerusikan oleh Mejar Cina Datuk David Wong Khong Soon.
Menurut beliau, YSF ditubuhkan pada tahun 2016 dengan ilham Sultan Ibrahim untuk membantu dan memperkasa golongan kurang berkemampuan daripada kalangan masyarakat kaum Cina di negeri ini.
“Yayasan Sultanah Fatimah dinamakan sempena isteri Almarhum Sultan Abu Bakar iaitu Almarhumah Sultanah Fatimah yang dilahirkan sebagai Wong Ah Gew sebelum baginda berkahwin dan memeluk agama Islam.
“Selain bakul makanan dan kurniaan sumbangan peribadi Tuanku, kami juga menghulurkan bantuan biasiswa kepada pelajar B40 di seluruh negeri Johor dan menyokong pelbagai organisasi masyarakat Cina,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun YSF mengutamakan masyarakat Cina, tetapi pihaknya masih menghulurkan bantuan tanpa mengira kaum dan agama.
Berkongsi tentang sumbangan Sultan Ibrahim kepada YSF, pada permulaan yayasan itu, Tuanku telah menyumbangkan RM1 juta secara peribadi.
Jelasnya, sumbangan peribadi baginda telah berterusan sejak itu untuk membantu mereka yang sakit, miskin dan memerlukan, termasuk memberi biasiswa kepada pelajar sekolah dari golongan B40.
“Banyak rumah di kawasan luar bandar dan kampung-kampung sering rosak teruk akibat bencana alam telah dibantu menerusi YSF.
“Apabila kejadian tersebut berlaku, Tuanku akan bertitah kepada saya untuk pergi ke lokasi tersebut dengan segera bagi memeriksa kebajikan mangsa dan menjalankan pembaikan atau membina semula rumah-rumah tersebut bergantung kepada keadaan kerosakan,” kongsinya.
Dalam perancangan masa akan datang, YSF akan bekerjasama dengan Menteri Besar Johor dan beberapa pihak untuk menghulurkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan.
Mereka terdiri daripada kalangan masyarakat kaum Cina dan juga biasiswa untuk murid-murid B40 di semua 10 daerah di Johor.