fbpx

Kementerian Perpaduan peruntuk RM3.2 juta perkasa rukun tetangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aaron ketika berucap pada Program Keselamatan Kejiranan dan Jom Ronda SRS Bersepadu Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya Tahun 2024, malam ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Sebanyak RM3.2 juta diperuntukkan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) tahun ini bagi memperkukuh keselamatan dan ketahanan komuniti di bawah Inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga (RT) Sebagai Penggerak Komuniti Progresif.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, jumlah berkenaan meliputi RM837,500 untuk pembekalan dan penggantian fasiliti keselamatan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi manfaat kepada 119 buah RT.

Katanya, sebanyak RM 2,175,00 pula diperuntukkan bagi pembekalan 69 buah kabin SRS baharu dan sebanyak RM 231,692 untuk pembaikan kabin sedia ada di 18 kawasan SRS.

“Kementerian menyasarkan agar kekerapan aktiviti kawalan dan rondaan SRS dapat dipertingkatkan lagi termasuk penglibatan golongan muda dalam SRS.

“Justeru, sebagai penghargaan kepada khidmat bakti yang disumbangkan secara sukarela oleh ahli jawatankuasa (AJK) RT dan anggota SRS, maka kerajaan menyediakan insentif kepada kumpulan ini melalui Skim Insurans Kemalangan Diri Berkelompok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Keselamatan Kejiranan dan Jom Ronda SRS Bersepadu Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya Tahun 2024, di sini malam ini.

Aaron berkata, setakat bulan lepas, sejumlah 5,409 SRS ditubuhkan dengan keanggotaan hampir 100,000 di seluruh negara sebagai paltform membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah di komuniti setempat.

Katanya, sejak diwujudkan pada 2004, pihaknya melalui JPNIN merangka hala tuju baharu ‘Meremajakan SRS’ bertujuan melonjakkan peranan kumpulan itu sebagai entiti penting di peringkat komuniti.

Jelasnya, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah meningkatkan keberkesanan SRS melalui penggunaan aplikasi teknologi moden dalam menjalankan tugas kawalan dan rondaan.

“Selain itu kualiti peralatan SRS ditambah baik dan memupuk budaya kesukarelawanan dalam kalangan komuniti melalui aktiviti keselamatan kejiranan dengan ‘Kempen 1 Keluarga 1 Anggota SRS’,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI