fbpx

Jadi juri cungkil bakat, Yuna terkenang zaman Myspace

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUNA terlibat sebagai juri program realiti terbaharu Astro, Gimme The Mic Malaysia.

Berkelana hampir 14 tahun di Los Angeles, Amerika Syarikat menuntut pengorbanan besar buat penyanyi Yuna yang hakikatnya perlu didahului jiwa kental.

Meninggalkan tanah air sendirian pada usia awal 20-an menjadikan personaliti yang ‘menjual’ bakat menerusi laman sosial itu enggan mudah menyerah kalah.

Perjuangannya nyata meraih kemanisan apabila mampu membuka mata nama besar dalam industri muzik global termasuk berkolaborasi dengan penyanyi Usher.

Namun sinar kegemilangan itu tidak sedikit pun membuatkan Yuna atau nama lengkapnya Yunalis Mat Zara’ai, 38, lupa di mana bumi dipijak.

Enggan menjauh dari radar muzik lokal, dia kerap kembali ke Malaysia memenuhi tuntutan kerja sambil menjenguk keluarga selain masih rancak mengadakan kerjasama dengan penyanyi serta pemuzik tempatan.

Hargai bakat lokal

Biar kerap berselisih bahu dengan penghibur antarabangsa dan sepentas dengan mereka, Yuna tetap menghargai keunikan bakat penggiat seni tempatan yang dilahirkan daripada pelbagai platform.

“Negara kita juga mempunyai ramai penyanyi yang mempunyai vokal hebat serta bakat luar biasa untuk diketengahkan ke arena lebih luas.

“Kita jangan malu untuk katakan perkara itu. Jangan bandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia kerana pasaran mereka cukup besar mengikut jumlah penduduknya yang melebihi 200 juta orang.

“Sebagai pemerhati dan penggiat seni sendiri, saya harap kita semua terus bagi sokongan padu terutama meraikan kemunculan lebih ramai penyanyi atau band baharu,” katanya ketika ditemui HibGlam, baru-baru ini.

Berada di tanah air sejak akhir bulan lalu, kata Yuna, dia bersyukur dapat bercuti lebih panjang kali ini.

YUNA mengambil cuti panjang pulang ke Malaysia selama tiga bulan untuk menyempurnakan beberapa tugasan. – MOHD. FIRDAUS MOHD.JOHARI

Menyempurnakan tugasan hakiki bagi pembikinan buah tangan terbaharu, Yuna juga menerima undangan sebagai juri program Gimme The Mic Malaysia.

Pertandingan pencarian bakat dalam kalangan pembikin konten muzik itu disifatkan sentimental buat dirinya yang menonjolkan kebolehan vokal serta lagunya menerusi Myspace dan YouTube suatu ketika dulu.

“Kebetulan saya cuti panjang, jadi pelawaan Astro saya dapat terima kerana sebelum ini banyak juga tawaran daripada pihak lain terpaksa saya tolak.

“Bukan tidak sudi sebab kalau setakat balik sini sebulan dua memang saya tak dapat penuhi permintaan terbabit dalam program televisyen.

“Istimewanya Gimme The Mic Malaysia ini juga ketengahkan bakat penyanyi di medium laman sosial, jadi seolah-olah mengimbas detik saya sebelum mempunyai album,” katanya yang bakal duduk di kerusi juri bersama Ajai, Hael Husaini serta Bunga Citra Lestari.

Cuti 3 bulan

Berkongsi kepulangan bersama suaminya, Adam Sinclair, seperti biasa mereka menghabiskan masa bersama keluarga sehingga Oktober depan.

Pada masa sama, dia mahu menyumbang semula kepada komuniti seni tempatan menerusi beberapa projek yang sudah disusun awal.

Bahkan pelantun lagu Terukir Di Bintang itu juga mengintai ruang untuk mencari pangkalan di tanah tumpah darah sendiri.

Bukan mahu melupakan perjuangan asal ke luar negara, sebaliknya dia ingin kerjaya di Los Angeles dan Malaysia tetap seiring biar perlu berulang-alik.

Yuna bertindak sebagai juri program Gimme The Mic Malaysia termasuk bersama Ajai (kiri) dan Hael Husaini.

“Kami memang merancang tinggal lebih lama di tanah air untuk kepulangan kali ini seterusnya ambil langkah memulakan base di Kuala Lumpur sebab saya rasa kualiti kehidupan di sini jauh lebih baik.

“Saya pun makin berusia, sudah penat berjalan-jalan. Saya ingin duduk di Malaysia dan bersarapan nasi lemak setiap hari.

“Semua yang saya jalani mengikut perancangan, namun banyak lagi kerja membabitkan pihak di sana yang perlu dibereskan. Alhamdulillah, pelan berjalan lancar,” katanya dengan nada teruja.

Album baharu

Berkongsi pula mengenai lagu baharu, kongsinya sudah beberapa dendangan berada dalam senarai, cuma masih perlu diperincikan sebelum masuk studio.

Enggan tergesa-gesa, kali terakhir tampil dengan Extended Play (EP) berjudul Y4 dua tahun lalu membuatkannya lebih selesa mengatur tugasan agar hasilnya lebih sempurna.

Yuna mahu lebih aktif melakukan kerja amal bersama suami sebagai cara membalas kembali kerja baik kepada masyarakat.

“Sebenarnya saya memang banyak tulis lagu tetapi selalu tak puas. Saya suka berulang kali touch up sebelum betul-betul rasa ‘ya, inilah yang saya mahu’.

“Ikutkan saya ada muzik baharu yang akan keluar, insya-Allah tahun ini. Ada empat lagu yang saya sudah buat selama beberapa bulan ini, jadi itu saya rakamkan dulu.

“Selain album, saya harap berpeluang melakukan banyak program amal bersama suami saya,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI