fbpx

Istiadat Pertabalan Agong: 14 laluan ditutup akan dibuka secara berperingkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Yusri ketika sidang akhbar di pekarangan Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan menutup dan membuka 14 laluan sekitar ibu kota yang digunakan untuk Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim secara berperingkat.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laluan yang ditutup bermula pukul 8 pagi tadi bagi melancarkan perjalanan kenderaan kerabat diraja serta orang kenamaan.

Katanya, laluan akan dibuka semula seperti biasa secara berperingkat semasa sebaik semua kenderaan terbabit melepasi laluan berkenaan yang ditetapkan.

“Semua 14 laluan berkenaan ditutup secara berperingkat bermula 8 pagi sehingga ketibaan semua VVIP semua selesai di Istana Negara.

“Kita akan buka semula jalan di ibu kota bagi melancarkan aliran trafik dan apabila majlis (istiadat pertabalan) hendak tamat nanti, kita akan tutup semula jalan jalan untuk majlis pagi ini,” katanya pada sidang akhbar perkarangan Istana Negara di sini, hari ini.

Kata beliau, penutupan jalan akan dilaksanakan semula pada pukul 8 malam nanti secara berperingkat sempena Majlis Santapan Diraja yang akan berlangsung di Istana Negara, di sini.

“Kita harap orang ramai memberi kerjasama untuk memastikan kelancaran istiadat pertabalan hari ini.

“Kita lihat upacara hari ini sebagai peristiwa bersejarah kerana ia hanya dapat diadakan dan disaksikan lima tahun sekali,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama baik setakat ini dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak JSPT Kuala Lumpur dan Bukit Aman.

Tambah Yusri, urusan kawalan lalu lintas di sekitar ibu kota sepanjang istiadat pertabalan berlangsung turut dibantu beberapa agensi lain termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Sepanjang tempoh upacara Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong bermula kelmarin sehingga 27 Julai ini, seramai 1,250 pegawai dan anggota JSPT ditugaskan menjaga kawalan lalu lintas dan pengiring VVIP.

“Untuk istiadat pertabalan pada pagi ini, seramai 378 pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur dan Bukit Aman ditugaskan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI