PETALING JAYA – Meskipun berhadapan isu pelanggaran kontrak dengan bekas syarikat pengurusan, Metrowealth International Group (MIG), pelakon Hun Haqeem mengakui masih menjalinkan hubungan baik dengan penerbit David Teo.
Kata Hun atau nama lengkapnya Haqeem Hermy, 26, segala konflik yang berlaku tidak akan menghalang hubungannya dengan sesiapa, apatah lagi realitinya industri hiburan tempatan sangat kecil.
“Hubungan dengan David okey sahaja. Sebelum ini kami ada berbuka puasa bersama dalam satu acara dan saya ada tanya khabar dia serta isterinya, Jane.
“Sebelum ini pun saya pernah cakap, industri kita sangat kecil. Akhirnya, kita akan jumpa orang yang sama.
“Konflik yang berlaku tidak akan bawa ke mana-mana,” katanya kepada Kosmo! Online semasa tayangan final Ke Kodiang With Love, baru-baru ini.
Ditanya mengenai perkembangan terkini kes mahkamah, pelakon drama Kampung People itu memaklumkan bahawa kes tersebut masih berjalan lancar.
“Tidak banyak yang perlu dikemas kini sebab masih sama. Isu ini pun berjalan sejak 2020 dan sekarang sudah masuk tahun 2024.
“Kedua-dua pihak rasa memang patut diselesaikan dan bagi saya setakat ini semuanya berjalan lancar.
“Harap isu yang berlaku ini dipermudahkan. Benda ini pun tidak rumit sebenarnya, nanti tengok apa hasilnya,” ujarnya.
Februari lalu, David mendedahkan mahkamah sudah memutuskan supaya Hun membayar ganti rugi sebanyak RM613,950 kepada syarikat milik David, Metrowealth atas dakwaan perlanggaran kontrak.
David turut memaklumkan bahawa Hun sudah menjelaskan bayaran separuh daripada jumlah RM30,240.
Tindakan tersebut membuatkan Hun terkejut David menghebahkan isu pelanggaran kontrak yang berlaku pada tahun 2020 itu kepada umum.
Sebelum ini timbul khabar angin mengatakan Hun angkat kaki dari MIG sejak Januari 2021 dan menguruskan diri tanpa bergantung pada mana-mana syarikat. – KOSMO! ONLINE