PEMERGIAN Kim Pan-gon yang meletakkan jawatan sebagai pengendali Harimau Malaya mencetuskan spekulasi hangat mengenai calon pengganti yang perlu dicari oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia untuk mengisi kekosongan tersebut.
Walaupun FAM memilih pembantu Pan-gon, Pau Marti Vicente selaku pemangku jurulatih Harimau Malaya, gerak kerja harus dimulakan daripada sekarang bagi memastikan ada kesinambungan kepada apa yang telah dilakukan oleh Pan-gon.
Bagi Pengerusi Persatuan Penyokong Lang Merah (LMFA), Wan Syazwan Wan Fadzelah, paling penting adalah semua pihak harus melihat falsafah dan gaya permainan yang diinginkan oleh Harimau Malaya.
“Sebelum sentuh soal kriteria, sekarang kita kena tahu falsafah kita supaya tidak timbul kecelaruan dalam kalangan pemain andai kata ada perubahan berbanding apa yang pernah dibawa oleh Pan-gon.
“Tidak perlu fikir terlalu jauh atau soal ke Piala Dunia lagi, biarlah kita fikir tentang Asia dulu. Negara lain seperti Thailand dan Indonesia pun gunakan jurulatih dari Asia dan kita sendiri boleh lihat hasilnya,” katanya.
Berdasarkan keputusan positif yang diberikan Pan-gon sepanjang mengemudi pasukan negara, sebahagian peminat mula merasakan gaya bola sepak Korea Selatan seakan yang terbaik untuk diadunkan bersama para pemain Harimau Malaya menyebabkan nama Park Hang-seo turut terkait.
Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Faizal Wahid, berkata agak sayang untuk merelakan pemergian Pan-gon kerana Harimau Malaya masih ada tugasan penting di kelayakan Piala Asia 2027.
“Kita pun sudah separuh jalan dan selepas ini kita ada kelayakan Piala Asia 2027. Jika ditanya tentang kriteria dan pilihan, sudah pasti saya mahu jurulatih dari Korea Selatan untuk meneruskan kesinambungan.
“Park Hang-seo pun seorang jurulatih yang sudah terbukti kualitinya seperti ketika dia pernah mengubah bola sepak Vietnam,” katanya.
Selain Hang-seo, beberapa nama lagi hangat diperkatakan sebagai calon terbaik untuk dipertimbangkan oleh FAM, antaranya Alexandre Polking, Hussein Ammouta, Petar Segrt, Esteban Solari, malah ada yang mengaitkan nama Tan Cheng Hoe bakal kembali ke pangkuan Harimau Malaya.
Bagi penyokong Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Mohd. Salman Shamsir Khan berpendapat jurulatih baharu itu nanti harus memiliki karakter yang menyamai apa yang pernah dicurahkan oleh Pan-gon.
“Memang Pau Marti dipilih sebagai pemangku, tetapi pencarian harus dimulakan daripada sekarang. Soal kriteria, saya lebih suka melihat personaliti Hang-seo atau Petar Segrt,” katanya.