ALOR SETAR – Remaja yang meninggal dunia di Stadium Darul Aman di sini semalam seolah-olah tahu bahawa ajalnya akan datang bila-bila masa apabila sering bergurau tentang kematiannya dengan keluarga dan guru sekolah.
Menurut ibu Allahyarham Muhammad Danish Hakim Muhammad Zahir, 18, Noormiza Md Nor, 43, anak kedua daripada empat beradik itu pernah memberitahu kakaknya, Nurnafisa, 19, bahawa dia akan meninggal hari Jumaat dan masuk syurga.
“Baru-baru ini arwah ada bergurau dengan kakaknya cakap, ‘Abang mati Jumaat nanti masuk syurga’. Kakaknya marahlah kenapa dia cakap macam itu. Dengan cikgu-cikgu sekolah pun arwah selalu bergurau katanya, “Saya mati cikgu mesti rindu, nanti saya viral (tular).”
“Kami cuma menganggap semua itu gurauan sahaja tetapi ternyata apa yang arwah cakapkan itu menjadi nyata. Dia meninggal dunia hari Jumaat dan kematiannya viral,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Alor Senjaya, Anak Bukit di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, kejadian berlaku pada pukul 7 malam ketika mangsa berada di tempat duduk penonton stadium itu akibat masalah berkaitan jantung.
Noormiza menambah, arwah yang menghidap penyakit jantung berlubang sejak lahir itu sangat meminati bola sepak sejak kecil.
“Semalam arwah meminta kebenaran nak menonton perlawanan bersama adik dan kawannya. Arwah sangat teruja, katanya, Kedah lawan dengan JDT, dia mesti tengok. Kami benarkan.
“Sejak lahir doktor sudah bagi tahu hayat arwah memang tidak lama kerana penyakitnya itu, namun satu keajaiban apabila dia hidup sampai sekarang. Arwah seorang yang kuat semangat,” katanya. – KOSMO! ONLINE