BANGKOK – Suruhanjaya Penyiaran Nasional dan Telekomunikasi (NBTC) membekukan lebih 2 juta nombor telefon bimbit selepas pemiliknya gagal mematuhi tarikh akhir pendaftaran pada minggu ini, lapor laman berita Thaiger semalam.
Tindakan itu dilakukan untuk mengukuhkan keselamatan dan mengurangkan penipuan berkaitan nombor telefon tidak berdaftar.
Semua nombor terbabit kebanyakannya dimiliki oleh individu-individu yang mempunyai antara enam hingga 100 kad SIM yang tidak berdaftar.
Langkah itu menjejaskan keupayaan mereka untuk membuat panggilan, menghantar pesanan SMS dan mengakses internet.
Pesuruhjaya NBTC, Jeneral (polis) Nathathorn Prousoontorn menekankan tentang kepentingan melaksanakan langkah tersebut.
“Sekiranya semua kad SIM terbabit tidak didaftarkan dalam tempoh 30 hingga 45 hari lagi, nombor telefon berkaitan akan dipadamkan sepenuhnya dan diagihkan semula kepada pembeli baharu,” katanya.
Pejabat Anti-Penggubahan Wang Haram (AMLO) baru-baru ini meminta NBTC menyemak semula sejumlah 80 juta nombor telefon yang dikaitkan dengan 113 juta akaun perbankan mobil.
Langkah itu untuk memastikan pemilik kad SIM dan pemilik akaun bank adalah orang yang sama, manakala proses itu dijangka selesai akhir bulan depan. – AGENSI