fbpx

YBR terima anugerah Yayasan Tahunan, kategori perbankan kali keempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Benedict Lasimbang (tengah) mewakili YBR menerima Anugerah Yayasan Tahunan buat kali keempat berturut-turut di Hotel Berjaya Time Square, Kuala Lumpur, semalam.

PETALING JAYA – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menerima Anugerah Yayasan Tahunan (Foundation Of The Year) bagi kategori perbankan di Majlis Anugerah Kelestarian Dan CSR Malaysia 2024 buat kali keempat berturut-turut.

Pengiktirafan diterima itu adalah inisiatif oleh YBR dalam meningkat sosioekonomi rakyat Malaysia melalui pendidikan serta program-program kemasyarakatan sepanjang tahun 2023 untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Menurut Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang, anugerah itu adalah merupakan tanda pencapaian YBR sepanjang penubuhannya dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat sepanjang tahun.

“Pada 2023 YBR telah membelanjakan sebanyak RM28.35 juta sebagai peruntukan bantuan pendidikan dan masyarakat.

“Pengiktirafan ini merupakan bukti kesungguhan YBR dalam membantu mereka yang memerlukan serta semangat yang jitu dalam meningkatkan tahap sosio ekonomi masyarakat.

“Kami akan sentiasa komited serta mempelbagaikan strategi dalam membantu meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat Malaysia melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut berharap YBR akan terus mengekalkan momentum dalam membantu masyarakat Malaysia yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.

Penyerahan anugerah yang berlangsung di Hotel Berjaya Time Square, Kuala Lumpur itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Turut hadir menerima penganugerahan tersebut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Benedict Lasimbang berkata, penghormatan yang diberikan ini membuktikan impak positif di atas penglibatan dan komitmen berterusan YBR dalam menyantuni mereka yang kurang bernasib baik serta menyemarakkan lagi semangat untuk terus berbakti kepada masyarakat dan negara.

“YBR ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung yang menjadi sebahagian daripada kejayaan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI