fbpx

Wartawan rasa tiupan angin, Da’i Hadhari minta jaga akidah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan penyelam dari Unit Skuba (Unit Forensik) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan telefon pintar dipercayai milik mangsa bunuh Nur Farah Kartini di dalam sebuah parit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kelmarin. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/KOSMO!

PETALING JAYA – Pengalaman seorang pengamal media yang merasakan tiupan angin selepas pasukan penyelam polis menjumpai telefon milik mangsa bunuh, Nur Farah Kartini menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai.

Ketika kejadian, wartawan tersebut menerusi videonya mendakwa tiupan angin itu seolah-olah tanda ‘terima kasih’ Allahyarham kepada pasukan penyiasat yang bertungkus-lumus mencari barang peribadi mangsa.

Bagaimanapun menurut pendakwah dan penyampai radio, Tajdid Hadhari, orang ramai diminta menjaga akidah dan tidak mudah percaya dengan sebarang kejadian aneh.

“Jangan duk percaya bukan-bukan. Jaga akidah, hormati roh arwah. Doa yang baik-baik,” tulisnya di ruangan komen.

Sementara itu, menurut Pensyarah Kanan Pusat Pendidikan Universiti Malaya (UMEC) Bachok, Kelantan, Dr. Mohd Khairulnazrin Mohd. Nasir berkata, apabila manusia telah meninggal dunia, rohnya terus ke alam Barzakh, sama ada jasadnya dikebumikan atau tidak.

Ujarnya, mana-mana individu jangan sesekali membuat andaian palsu tentang perkara ghaib, termasuk keadaan roh manusia.

“Satu lagi nak pesan, jangan bermudah-mudah dalam mengambil ilmu agama daripada orang yang tidak diketahui latar belakang keilmuannya, lebih-lebih lagi berkaitan akidah.

“Akhir sekali, jangan terpengaruh dengan apa yang dipaparkan dalam cerita hantu,” tulisnya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan mayat Nur Farah Kartini, 25, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang, pada Isnin.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak telah ditahan dan direman sehingga 22 Julai depan untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek juga dibawa ke lokasi kejadian dipercayai tempat mangsa dibunuh bagi membantu mengesan barang bukti yang berada di sebuah parit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI