NEW DELHI – Sebuah kereta api penumpang India tergelincir dan sebilangan gerabak terbalik kelmarin dalam nahas yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang, manakala 35 lagi cedera.
Kereta api Ekspres Chandigarh-Dibrugarh yang memiliki 22 gerabak dan melalui jarak perjalanan 2,640 kilometer itu tergelincir dekat bandar suci pengganut Hindu, Ayodhya di utara India sekitar pukul 2.30 petang (waktu tempatan).
“Empat orang meninggal dunia,” kata jurucakap perkhidmatan kereta api Indian Railways, Pankaj Kumar Singh.
Pesuruhjaya bantuan negeri Uttar Pradesh, Naveen Kumar berkata, seramai 35 lagi cedera, tiga daripada mereka parah.
Menurutnya, operasi menyelamat telah selesai dan tiada sesiapa lagi terperangkap di dalam kereta api itu.
Punca kemalangan belum dapat dipastikan.
Sekurang-kurangnya empat gerabak terbalik di lokasi kemalangan di daerah Gonda, lapor stesen penyiaran NDTV.
“Kemalangan kereta api di daerah Gonda amat menyedihkan,” kata Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath di platform X.
“Pegawai pentadbiran daerah telah diarah untuk melakukan operasi bantuan dan menyelamat serta membawa mangsa yang cedera ke hospital,” tambahnya.
India melancarkan pemodenan infrastruktur kereta api bernilai AS$30 bilion (RM140.23 bilion) dalam usaha untuk meningkatkan ekonomi dan laluan pengangkutan.
Purata 20,000 orang mati setiap tahun antara 2017 hingga 2021 dalam kemalangan kereta api di India. – AFP/AGENSI