KEMAMAN – Padah menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘wheelie’ di Jalan Mak Lagam di sini, tiga remaja lelaki berjaya dicekup polis baru-baru ini.
Mereka yang berusia bawah 18 tahun itu ditangkap secara berasingan di sekitar daerah ini pada kelmarin dan semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, penahanan dilakukan berikutan penyebaran video berdurasi 24 saat dipercayai dirakam salah seorang rakan mereka sebelum tular di media sosial sejak Selasa lalu.
“Siasatan awal mendapati ia berlaku pada November tahun lalu. Tindakan itu boleh membahayakan nyawa mereka dan pengguna jalan raya lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, tiga buah motosikal yang dipercayai digunakan tiga remaja itu sewaktu kejadian turut disita.
“Semakan mendapati salah seorang daripada mereka pernah ditahan pada April lalu atas kesalahan mengubah suai motosikal. Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE