PETALING JAYA – Skuad bawah 19 (B-19) negara mempamerkan belang awal apabila mudah menewaskan Brunei Darussalam 11-0 pada aksi pertama Kumpulan C saingan Kejuaraan ASEAN B-19 di Stadium Gelora, Surabaya sebentar tadi.
Pada perlawanan tersebut, penyerang sensasi pasukan remaja kebangsaan, Abid Safaraz meledak jaringan hatrik pada minit ke-14, m-16 dan m-80.
Sementara itu, G. Pavithran pula meraih dua gol (m-2 dan m-43) manakala enam lagi jaringan diledak oleh Danish Hakimi (m-25), Haykal Danish (m-42), Izzat Syahir (m-53), Amir Farhan (m-68) dan Zamirul Hakim (m-75).
Kejayaan meraih tiga mata itu menaikkan lagi suntikan skuad kendalian Juan Torres Garrido untuk mengharungi baki dua perlawanan Kumpulan C menentang Singapura pada Isnin ini dan Thailand (25 Julai depan).
Juara setiap kumpulan dan satu naib juara terbaik akan lolos ke pusingan separuh akhir pada kempen kali ini.
Pasukan B-19 negara merupakan juara bertahan selepas mendominasi edisi 2022 dengan menewaskan Laos 2-0 di pentas final. – KOSMO! ONLINE