fbpx

Perlu segera tambah anggota JSJK, tangani jenayah siber kompleks – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin ketika perhimpunan bulanan di Bukit Aman, pagi tadi. Foto oleh PDRM

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mahu cadangan menambah anggota dalam Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) disegerakan berikutan trend jenayah siber yang semakin canggih dan kompleks.

“Melihat kepada trend jenayah siber yang semakin canggih dan kompleks, saya melihat keperluan ini adalah amat mendesak bagi kita memperkasakan JSJK dalam memberikan perkhidmatan kepolisan yang terbaik.

“Sehubungan itu, besarlah harapan saya agar Jabatan Pengurusan dapat mencapai sasaran pengambilan yang ditetapkan sebelum akhir tahun ini.

“Saya juga meletakkan sepenuh keyakinan kepada Jabatan Pengurusan atas usaha-usaha yang dilakukan untuk memastikan setiap modul latihan adalah relevan untuk keperluan tugas semasa, sekali gus melahirkan warga baharu PDRM yang kompeten dan berintegriti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Bulan Julai 2024 anjuran Jabatan Pengurus di Bukit Aman, di sini, pagi tadi.

Menurut Razarudin, seramai 3,482 orang pelatih lelaki dan wanita sedang menjalani Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) bagi Inspektor Polis Gred YA13, Sarjan Polis Gred YA5 dan Konstabel Polis Gred YA1 di tujuh buah Pusat Latihan Polis di seluruh negara sejak Januari sehingga 1 Julai ini.

“Perkembangan tersebut mencatatkan status pencapaian pelantikan Gred Lantikan Skim Perkhidmatan PDRM pada tahap 78.4 peratus daripada jumlah unjuran pengambilan tahun ini iaitu seramai 4,441 orang.

“Bagi Fasa Pertama pada 27 Mac lalu, sejumlah 2,749 Pegawai Rendah Polis (PRP) telah menerima Kenaikan Pangkat ke Lans Koperal Sokongan sehingga Koperal secara Time Based (TB).

“Seterusnya, 337 PRP menerima Kenaikan Pangkat Koperal Sokongan sehingga Sub Inspektor secara Time Based Berasaskan Kecemerlangan (TBK),” jelasnya.

Jelasnya lagi, kenaikan pangkat secara TB atau TBK memberi peluang yang lebih luas kepada PRP untuk dinaikkan pangkat tanpa melalui proses temuduga selain meningkatkan motivasi kerja serta memperbaiki taraf hidup melalui kenaikan emolumen yang diterima. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI