fbpx

Pengurusan kendiri berstruktur bantu pesakit diabetes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PESAKIT perlu memantau gula dalam darah menggunakan BGM.

DI Malaysia, diabetes atau kencing manis merupakan salah satu masalah yang amat membimbangkan.

Berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, sebanyak 15.6 peratus atau satu daripada enam dewasa di Malaysia menghidap kencing manis.

Apa yang lebih membimbangkan, ramai tidak sedar bahawa mereka menghidap masalah itu.

Memandangkan diabetes sudah menjadi wabak global dan menjadi masalah kesihatan paling mendesak dan cepat berkembang dalam abad ke-21, Penjagaan Diabetes Roche (Roche) berusaha mengumpulkan beberapa pakar penjagaan kesihatan.

Ini bagi membolehkan mereka membincangkan topik penting berkaitan cara pengurusan kendiri yang berkesan untuk individu menghidap diabetes (PwD).

Perbincangan berkenaan memberi tumpuan kepada aspek asas yang penting iaitu pengurusan harian diabetes, pemantauan glukosa darah berstruktur, di mana pesakit dan penjaga menggunakan meter glukosa darah (BGM).

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan BGM sebagai ‘intervensi bukan pembedahan utama’ dengan meter glukosa darah mudah alih sebagai alat perubatan untuk penghidap diabetes.

Bagi memudahkan pengurusan diabetes dan memperkasakan PwD untuk meningkatkan kualiti hidup, Roche membangunkan satu pendekatan iaitu Pengurusan Diabetes Peribadi Bersepadu (iPDM).

DARI kanan: Bryan, Lee Ling dan Lai Mai merupakan antara panel yang dijemput oleh Roche bagi membincangkan permasalahan diabetes di ibu negara baru-baru ini.

Ketua Unit Penjagaan Diabetes, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Lim Lee Ling berkata, terdapat keperluan mendesak untuk mengutamakan pengurusan kendiri diabetes yang berstruktur.

Ujarnya, ia bagi mengurangkan beban kewangan, fizikal dan psikologi penghidap diabetes serta kesannya terhadap sistem penjagaan kesihatan negara.

Menurutnya, masalah kesihatan kronik sepanjang hayat seperti diabetes memerlukan keseimbangan yang baik antara pengubahsuaian pemakanan, rejimen kecergasan dan pengurusan diabetes dirangka khusus.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, akses kepada penjagaan diabetes telah disediakan pada harga yang berpatutan.

“Ini termasuklah sokongan berterusan dalam menggalakkan PwD untuk mematuhi pengurusan diabetes seperti pemantauan glukosa di rumah, rawatan susulan berjadual dengan maklum balas daripada doktor serta jururawat,” katanya.

Tambahnya, sebagai masalah kesihatan yang kronik, diabetes memerlukan komitmen jangka panjang daripada PwD dan keluarga mereka untuk mengelakkan komplikasi.

Lama-kelamaan, ia akan membantu menambah baik kesejahteraan PwD dan mengurangkan beban sistem penjagaan kesihatan.

Justeru, sudah tiba masanya kita meneroka cara terbaik bagi membantu PwD mengurangkan cabaran dalam menguruskan keadaan mereka di rumah, selain memperkasakan mereka untuk menjaga kesihatan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES) yang juga Jururawat Kanan Pendidik Diabetes dan Pengurus Perkhidmatan Penjagaan Diabetes di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Yong Lai Mee berkata, pendekatan iPDM membantu membina rangkaian penjagaan dan sokongan kukuh kepada komuniti diabetes.

Terangnya, setiap daripada kita mempunyai peranan dalam membimbing pesakit meniti perjalanan pengurusan diabetes mereka.

“Oleh kerana perjalanan setiap orang itu berbeza, maka kita perlu menyesuaikan terapi rawatan mengikut keperluan mereka.

“Sebagai jururawat pendidik diabetes, kami bertuah dapat mendampingi penghidap diabetes dan penjaga mereka.

“Kami mendidik, memberi galakan, dan memotivasikan mereka supaya memahami rejim pengurusan diabetes dan mematuhinya,” jelasnya.

PENJAGA memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pesakit diabetes menjalani gaya hidup sihat. – Gambar hiasan

Dia juga menegaskan betapa pentingnya peranan penjaga PwD.

Katanya, mereka adalah orang yang paling rapat dan boleh mempengaruhi PwD dalam membuat pilihan gaya hidup.

Malah, Lai Mee berkata, mereka memainkan peranan utama dalam menghubungkan anggota penjagaan kesihatan dengan maklumat yang boleh dikumpulkan dan dianalisis untuk penyesuaian terapi serta penjagaan.

“Perjalanan pengurusan diabetes seseorang itu pastinya menjadi lebih baik dan sihat apabila kita bersatu menguruskan masalah kesihatan mereka.

“Ia akan mengurangkan beban pengurusan diabetes sama ada pada pesakit itu sendiri mahukan sistem penjagaan kesihatan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kluster Pasaran Matang Asia Pasifik, Penjagaan Diabetes Roche, Bryan Koh berkata, pengurusan diabetes sangat rumit dan bersifat peribadi bagi setiap pesakit.

Pihaknya berusaha untuk membolehkan mereka mengendalikan kerumitan harian dalam pengurusan diabetes dengan yakin.

“Menghubungkan data pemantauan glukosa darah yang penting boleh membawa kepada tahap kesihatan dan kualiti hidup lebih baik.

“Bahkan, PwD juga akan berasa lega apabila mengetahui tindakan proaktif mereka mempunyai kesan langsung dalam mengelakkan komplikasi diabetes,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI