fbpx

Nak ‘handphone’, basikal datang solat subuh berjemaah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Masjid Jami'ul Ehsan, Setapak, Kuala Lumpur.

PETALING JAYA – Masjid Jami’ul Ehsan, Setapak, Kuala Lumpur menawarkan hadiah telefon bimbit dan basikal kepada pelajar sekolah yang istiqamah hadir solat subuh berjemaah di masjid berkenaan.

Imam masjid itu, Reza Iskandar Yazid, 46, berkata, pemberian hadiah berkenaan adalah sempena kempen solat subuh berjemaah bermula 1 Julai lalu sehingga 23 Ogos depan.

Jelasnya, kempen berkenaan adalah anjuran bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan pertubuhan bukan kerajaan, Amal Kita.

“Selain hadiah istiqamah (basikal dan telefon bimbit), kita turut menyediakan wang tunai RM5 kepada setiap pelajar sekolah yang hadir solat subuh berjemaah sepanjang kempen ini.

“Ia terbuka kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah. Syaratnya, mereka perlu hadir dengan memakai pakaian sekolah atau kokurikulum setiap kali berjemaah dan sarapan turut disediakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Poster Kempen Solat Subuh Berjemaah di Masjid Jami’ul Ehsan, Setapak.

Reza Iskandar yang juga Presiden Ama Kita berkata, pihaknya turut menyediakan hamper kepada jemaah dewasa yang istiqamah hadir solat subuh berjemaah sepanjang kempen tersebut.

“Acara kemuncak kempen ini akan diadakan pada 30 Ogos depan, dan setakat ini kita ada kira-kira 20 pelajar yang istiqamah hadir solat subuh berjemaah setiap hari.

“Jika mereka terus istiqamah sehingga 23 Ogos, kita akan beri sama ada telefon bimbit atau basikal yang berharga sekitar RM500 kepada setiap pelajar terbabit,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak kempen ini dilaksanakan, sambutan yang diterima pihaknya amat menggalakkan.

“Jika sebelum ini, hanya satu saf setengah sahaja yang hadir solat subuh berjemaah, tetapi sejak kempen ini dilaksanakan, jemaah makin bertambah sehingga lima ke enam saf setiap hari.

“Objektif kita menarik orang ramai untuk berjemaah di masjid dilihat semakin berjaya dan kita bersama pihak Jawi dan MAIWP turut akan melaksanakan beberapa lagi program seumpama ini sehingga hujung tahun bagi memastikan masjid sentiasa penuh dengan jemaah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI