MIAMI – Pihak pengurusan Inter Miami mengesahkan tidak meletakkan jangka masa tertentu untuk kapten mereka, Lionel Messi kembali beraksi dalam perlawanan kompetitif selepas mengalami kecederaan buku lali.
Terdahulu, bintang Argentina itu dikatakan bakal terlepas dua aksi Liga Bola Sepak Major (MLS), namun perkembangan terbaharu menyaksikan timbulnya kebimbangan berhubung kecederaan Messi yang mungkin mengambil masa lebih lama untuk pulih.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan, Miami akan memantau perkembangan pemain berusia 37 tahun itu dan tidak akan terburu-buru menurunkan Messi bagi memastikan dia benar-benar pulih daripada kecederaan tersebut.
“Selepas ujian perubatan yang dilakukan, kami mendapati Messi mengalami kecederaan ligamen pada buku lali kanannya. Berhubung kecergasan untuk bermain, ia akan ditentukan dari semasa ke semasa,” katanya.
Pada aksi final Copa America menentang Colombia Isnin lalu, Messi mengalami kecederaan tersebut selepas diterjah Santiago Arias sehingga memaksa bekas pemain Barcelona itu dikeluarkan sebelum tamat 90 minit permainan.
Sementara itu, Messi juga memberi jaminan bahawa dia berada dalam situasi lebih baik ketika ini selain menyatakan harapannya untuk kembali membantu pasukan menghadapi aksi kompetitif.
“Copa America sudah berakhir dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua orang atas ucapan dan peringatan. Keadaan saya sudah bertambah baik dan mungkin akan kembali ke padang dalam masa terdekat,” ujarnya. – AGENSI