LONDON – Manchester City kekal diangkat sebagai pilihan untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali kelima berturut-turut.
Daripada ramalan yang dibuat oleh supercomputer, skuad kendalian Pep Guardiola itu akan memiliki kelebihan tersendiri walaupun dijangka diberi tentangan sengit daripada pencabar lain.
Antara faktor yang menyokong ramalan itu adalah kerana beberapa perubahan yang berlaku termasuk beberapa pertukaran pengurus menyaksikan Liverpool dilatih Arne Slot dan Enzo Maresca menyertai Chelsea.
Ramalan yang dibuat menyaksikan 90 peratus berpihak kepada City yang dijangka menamatkan saingan dengan 94 mata diikuti Arsenal menutup musim 2024/25 di tangga kedua.
Musim 2024/25 dijangka menjadi musim terakhir buat Guardiola yang sebelum ini bertegas hanya akan menoktahkan masa depannya pada pertengahan musim.
Ketika ini, nama pengurus dari Sepanyol itu dilihat sebagai calon paling berpotensi untuk menggantikan tempat Gareth Southgate dalam skuad kebangsaan England.
Dalam ramalan sama, pendatang baharu EPL kali ini, Ipswich Town dijangka berdepan kesukaran dan berkemungkinan menamatkan saingan di tangga tercorot, manakala dua lagi pasukan, Leicester City dan Southampton akan terselamat daripada penyingkiran.
Ipswich akan terus dilatih oleh Kieran McKenna yang menjulang kelab itu menduduki tangga kedua Liga Kejuaraan Inggeris musim lalu
Wolverhampton Wanderers dan Nottingham Forest diramal melengkapkan dua lagi pasukan yang akan tersingkir ke Liga Kejuaraan Inggeris. – AGENSI