fbpx

KDA FC tidak longlai tanpa Syafiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAFIQ tidak dapat mewakili KDA FC disebabkan statusnya sebagai pemain pinjaman dari JDT. - KDA FC

KETIADAAN Syafiq Ahmad yang tidak dapat diturunkan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman malam ini bukanlah perkara yang menggusarkan ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain.

Menurut Nafuzi, beberapa calon berada dalam radarnya untuk menggantikan tempat Syafiq bagi memastikan barisan serangan Sang Kenari tidak longlai dalam pusingan pertama separuh akhir Piala FA itu nanti.

“Kita ada pilihan lain untuk mengisi kekosongan Syafiq. Penilaian akan dilakukan bagi memilih pemain sesuai menggantikannya.

“Untuk penyerang utama pun saya ada pilihan sama ada untuk turunkan Milos Gordic atau Ebenezer Assifuah. Kedua-duanya sedia diturunkan pada bila-bila masa bergantung kepada cara kita mahu bermain nanti,” katanya.

Syafiq tidak dapat diturunkan menentang JDT berikutan statusnya sebagai pemain pinjaman daripada pasukan Harimau Selatan itu.

Pemain itu memainkan peranan penting buat Sang Kenari musim ini termasuk menghasilkan jaringan cantik ketika KDA FC menewaskan Kelantan Darul Naim FC minggu lalu.

Sementara itu, Nafuzi berkata, KDA FC tidak bercadang untuk turun dengan taktikal mahu pun gaya permainan berbeza apabila melayan kunjungan JDT.

“Kami perlu beri lebih perhatian terhadap aspek disiplin dan fokus permainan. Jangan terleka kerana setiap minit adalah penting apabila bertemu mereka.

“Mereka pun bukan pertama kali melawan JDT, malah setiap tahun kami bertemu. Kalau jumpa pasukan lain pun, sama juga sebenarnya.

“Cumanya apabila berdepan JDT yang sememangnya diketahui kuat, kita tidak boleh lakukan kesilapan. Nak jangkakan jumlah gol atau apa akan berlaku memang susah tetapi apa yang penting, kita kena berusaha bagi mencapai keputusan positif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI