PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir ke atas empat buah negeri pada petang ini.
MetMalaysia dalam hantaran berkata, amaran itu diberikan susulan hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa daerah di Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sehingga 3 petang ini.
“Antara kawasan terlibat ialah daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang manakala di Negeri Sembilan amaran diberikan di daerah Tampin.
“Selain itu, hujan lebat dijangka melanda, Jasin, Melaka dan di Johor pula cuaca sama diramal berlaku di Tangkak dan Segamat,” katanya, di sini hari ini.
Katanya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE