TANJUNG MALIM – Operasi mencari barangan milik bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, 25, pada hari kedua di Sungai Trolak, di sini hari ini ditangguhkan.
Petugas media yang berada di lokasi pencarian sejak pukul 9 pagi dimaklumkan penangguhan operasi itu dibuat berikutan ketinggian air sungai mencecah tiga meter, berbanding paras biasa iaitu satu meter.
Keadaan itu dikatakan berlaku berikutan cuaca hujan di lokasi tersebut.
Keadaan air yang keruh, dasar sungai yang berbatu serta dahan pokok besar serta tajam dipercayai menjadi antara punca operasi pencarian tersebut ditangguhkan hari ini demi keselamatan anggota bertugas.
Difahamkan operasi mencari bahan bukti kes pembunuhan tersebut akan disambung setelah keadaan di sungai berkenaan selamat.
Kelmarin, anggota polis menemukan beg tangan yang dipercayai milik Nur Farah Kartini yang tersangkut pada dahan pokok kira-kira 270 meter jarak dari jambatan tempat lokasi pencarian bermula.
Beg tangan tersebut ditemui pada pukul 4.40 petang, namun kandungannya telah kosong dipercayai telah dihanyutkan air atau telah dibuang satu persatu.
Selepas ini misi diteruskan untuk mencari barangan mangsa seperti kad bank, alat solek dan pengecas telefon milik gadis tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim mengesahkan pencarian itu ditangguhkan.
“Setelah mengambil kira keadaan dan struktur sungai yang mempunyai sisa kayu, tidak selamat untuk pasukan penyelam untuk meneruskan operasi pencarian,” katanya kepada pemberita.
Jelasnya, operasi akan bersambung bergantung kepada keadaan cuaca dan kesediaan pasukan forensik. – KOSMO! ONLINE