fbpx

Tiba-tiba rasa angin sejuk lepas telefon Nur Farah Kartini ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan penyelam dari Unit Skuba (Unit Forensik) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan telefon pintar dipercayai milik mangsa bunuh Nur Farah Kartini di dalam sebuah parit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, di sini hari ini. Gambar M. FIRDAUS M. JOHARI

PETALING JAYA – Suasana bertukar tenang diiringi tiupan angin sejuk sejurus telefon pintar milik Nur Farah Kartini Abdullah, 25, ditemukan dalam sebuah parit Kampung Sri Kledang, di sini, semalam.

Kejadian tersebut turut dirasai wartawan Kosmo! bersama pengamal media yang lain ketika berada di lokasi kejadian beberapa minit selepas telefon pintar itu ditemukan sekitar pukul 12.20 tengah hari.

Tiupan angin yang berlaku beberapa saat itu sedikit sebanyak menghilangkan rasa letih antara pengamal media yang bertugas di lapangan.

Selepas kejadian itu, suasana kembali seperti biasa namun difahamkan oleh penduduk setempat tiupan angin seperti itu jarang berlaku di kawasan ladang kelapa sawit tersebut.

Semalam, Kosmo! melaporkan, telefon bimbit dipercayai milik Nur Farah Kartini Abdullah, 25, telah ditemukan dalam sebuah parit Kampung Sri Kledang, di sini.

Difahamkan bahan bukti tersebut ditemukan kira-kira 12.20 tengah hari selepas satu jam operasi pencarian dilakukan Unit Skuba (Unit Forensik) Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dibantu pihak bomba.

Suspek lelaki berusia 26 tahun turut dilihat dibawa ke lokasi kejadian dipercayai bagi membantu pihak berkuasa dalam usaha mengesan barang bukti yang berada di sebuah parit di lokasi kejadian.

Suspek yang juga anggota polis di sebuah balai di Perak dilihat berpakaian baju lokap berwarna oren lengkap bergari selain dikawal ketat beberapa anggota polis ke lokasi pencarian kira-kira pukul 11.40 pagi.

Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai, ditemui dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis ditahan pada hari yang sama.

Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

11 Julai lalu, mangsa berasal dari Miri, Sarawak itu dilaporkan hilang susulan satu laporan polis bersangkut kes Tanjung Malim, Perak, selepas dikatakan menghantar kereta sewa di Taman Universiti, Tanjung Malim pada sehari sebelum.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI