fbpx

Tiada keperluan kembalikan GST

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lim Hui Ying

KUALA LUMPUR – Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan ketika ini dilihat mampu memberikan kesan fiskal yang lebih cepat berbanding pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, kerajaan masih belum berhasrat untuk melaksanakan semula GST dan ia akan dipertimbangkan apabila terdapat persekitaran ekonomi yang bersesuaian terutama mengambil kira aspek kesan inflasi daripada rasionalisasi subsidi.

“Kerajaan kini mengutamakan untuk menambah baik sistem cukai sedia ada dan memperkenalkan percukaian yang tidak memberi kesan kepada golongan rentan sebelum menilai keperluan untuk memperkenalkan cukai kepenggunaan baharu seperti GST.

“Jadi, sebarang perubahan dasar kepada sistem percukaian berasaskan kepenggunaan seperti melaksanakan semula GST akan diteliti untuk memastikan ia bersifat progresif, mudah ditadbir, tidak memberi impak negatif kepada kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi serta pada masa yang sama dapat menjana hasil yang memapan kepada kerajaan,” katanya pada sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang mahu tahu adakah kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan semula GST, iaitu sistem cukai yang disifatkan lebih baik berbanding SST.

Tambah Hui Ying, pada 2023, kutipan cukai menyumbang sekitar RM229 bilion atau 72.8 peratus daripada hasil kerajaan sebanyak RM315 bilion.

Katanya lagi, pemberian subsidi, insentif dan bantuan kerajaan pula adalah sekitar RM80 bilion atau 19.7 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM406 bilion.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kedua-dua komponen ini mempunyai hubung kait yang signifikan dengan kedudukan fiskal negara. Adalah wajar perubahan dasar fiskal Malaysia memberi tumpuan kepada kedua-dua ini terlebih dahulu bagi mengambil peluang akan kedudukan fiskal negara yang stabil pada masa ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI