KUALA LUMPUR – Sebuah makmal memproses dan mengedar kokain ditumpaskan dengan penahanan tiga individu dalam serbuan di sebuah unit apartmen di Batu 5, di sini, kelmarin.
Turut ditahan pasangan suami isteri bersama rampasan 44.93 kilogram kokain dianggarkan bernilai RM9 juta untuk pasaran luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Khaw Kok Chin berkata, serbuan itu adalah hasil kerjasama antara pihaknya dengan Drug Enforcement Administration (DEA).
Kata beliau, serbuan pertama di apartmen menahan menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang berperanan sebagai penghantar dan isterinya, 41, iaitu penjaga bekalan serta ‘tukang masak’ kokain.
“Selain 44.93 kilogram kokain, kami turut merampas 52.5 liter cecair kimia (‘ibu kokain’) yang diletakkan di dalam botol wain.
“Rumah berkenaan disewa pada harga RM2,350 sebulan untuk dijadikan stor dan makmal memproses kokain sejak Februari lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa, Timbalan Pengarah JSJN Datuk Zainudin Ahmad dan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azri Akmar Ayob.
Rentetan tangkapan itu, Kok Chin berkata satu lagi serbuan dijalankan di sebuah pangsapuri di Cheras, Selangor, yang membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 38 tahun.
“Dalam serbuan terhadap lelaki berperanan sebagai penghantar itu, kami merampas satu kilogram serbuk kimia dipercayai digunakan untuk memproses kokain di rumah berkenaan.
“Jumlah dadah yang dirampas dalam operasi ini dianggarkan boleh menampung penggunaan seramai 225,000 penagih dadah.
“Kami turut menyita pelbagai aset sindiket membabitkan wang tunai, barang kemas, kenderaan serta jam tangan berjenama yang dianggarkan bernilai RM201,086 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988,” katanya.
Menurutnya, modus operandi sindiket itu yang aktif sejak awal tahun ini adalah menjadikan kediaman sebagai tempat memproses dan menyimpan kokain sebelum diedar untuk pasaran luar negara menggunakan pengangkutan udara.
“Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati hanya suspek ketiga positif dadah jenis ketamin yang turut memiliki lapan rekod jenayah dan dadah.
“Pasangan suami isteri itu direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 23 Julai ini, manakala suspek ketiga direman empat hari sehingga 20 Julai ini,” katanya.
Menurutnya, pihak polis masih mengesan saki baki sindiket berkenaan yang masih bebas untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-KOSMO! ONLINE