KUALA LUMPUR – Personaliti popular E-Sukan dan media sosial, Soloz akui puas untuk melihat perkembangan industri sukan elektronik di negara ini.
Kejayaan Selangor Red Giants (SRG) melakar sejarah baharu dalam arena E-Sukan negara selepas muncul juara pada kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 di Arab Saudi sebelum ini turut beri impak positif.
“Saya rasa perkembangan ini akan membantu ekosistem (E-Sukan) di Malaysia sebab ia melibatkan nama negara di pentas antarabangsa,” katanya ketika pelancaran Dark System Series.
Soloz atau nama sebenarnya Muhammad Faris Zakaria dan XK Penjahat atau Sofian Sultan melancarkan Dark System Series, hasil kolaborasi bersama jenama minuman Kopi Saigon.
Sebelum ini, kejayaan SRG jadi lebih manis apabila pemain jungler SRG, Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul yang lebih dikenali sebagai Sekyss turut dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan.
Selaku juara, SRG mendapat durian runtuh apabila membawa pulang trofi kejuaraan serta hadiah wang tunai berjumlah AS$1 juta (RM4.6 juta). – KOSMO! ONLINE