fbpx

Separuh kontena dipenuhi seluar tiruan dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kontena berisi pakaian tiruan dibawa keluar di Lorong Merbau, Off Jalan Kenanga, Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur mengambil tindakan sita hampir separuh kontena berisi ribuan pakaian cap dagangan yang salah, awal pagi tadi.

Serbuan bermula pukul 9.30 malam itu dijalankan ketika kira-kira 20 warga Bangladesh sedang memunggah barangan daripada sebuah kontena di Lorong Merbau, Off Jalan Kenanga, di sini.

Pemeriksaan terhadap 704 kotak di dalam kontena membawa kepada rampasan 210 kotak berisi 9,100 seluar jeans berjenama bernilai RM406,000.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, tindakan dijalankan susulan aduan orang awam berkenaan aktiviti berkenaan.

“Operasi Akta Cap Dagangan 2019 (ACD) membawa kepada pemeriksaan sebuah kontena sepanjang 40 kaki dipercayai dari Bangladesh yang berisi bungkusan kotak pakaian pelbagai jenama.

“Hasil serbuan ke atas lori kontena ini menemui sejumlah barangan berjenama. Semakan mendapati terdapat pakaian berjenama dipercayai dipakaikan dengan cap dagangan yang salah,” katanya hari ini.

Kata Nurul Syarina, pihaknya mendapati terdapat 704 kotak berisi pakaian di dalam badan lori kontena tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 210 kotak mempunyai pakaian berjenama yang mempunyai cap dagangan yang berdaftar.

“Rampasan membabitkan 9,100 helai seluar jeans berjenama serta dokumen berkaitan syarikat dan pelepasan pelabuhan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kotak pakaian yang mempunyai cap dagang yang salah akan diisi di bahagian paling hadapan dalam kontena bagi mengelakkan diperiksa oleh kastam semasa di pelabuhan jika terdapat pemeriksaan secara rawak.

“Dipercayai pakaian tersebut diimport dari Bangladesh melalui Pelabuhan Klang serta dihantar oleh ejen kepada para peniaga di sekitar kawasan Jalan Kenanga,di sini,” katanya.

Kata Nurul Syarina, seorang lelaki tempatan lingkungan 40-an iaitu pemandu lori kontena turut ditahan bagi membantu siasatan kes Akta Cap Dagang 2019.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI