MELAKA – Dulu sambal belacan percuma sekarang letak dalam bekas kecil kena caj RM3.
Itulah aduan yang sering diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka mengenai penipuan dan taktik premis makanan yang sengaja mengenakan caj mahal kepada pelanggan.
Difahamkan KPDN Melaka telah menerima lebih 90 aduan mengenai harga makanan mahal sejak awal tahun ini.
Antara caj mahal yang sering diadu kepada KPDN adalah sambal belacan mencecah RM3, ayam goreng seketul RM8.50, caj pembungkusan makanan 70 sen dan mi goreng kosong semahal RM7.
Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar berkata, pemeriksaan telah dilakukan di beberapa premis terlibat dan terdapat pemilik yang tidak mengemas kini harga baharu serta memaparkannya dengan jelas.
“Pada tahun lalu, kita menerima 77 aduan dan sebanyak 12 daripadanya telah bersabit kesalahan tidak memaparkan tanda dan selebihnya adalah aduan berkaitan meletakkan tanda harga lama serta mengelirukan.
“Tahun ini dalam tempoh enam bulan sahaja, kita terima lebih 90 aduan harga barang dan makanan mahal di restoran, warung serta food truck. Pemeriksaan mendapati ada premis melakukan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga serta gagal kemukakan resit,” katanya kepada Kosmo!.
Tambahnya, antara alasan diberikan pemilik premis adalah tersilap kira, harga barangan masakan naik secara tiba-tiba pada musim perayaan, terlupa untuk menukar harga baharu dan cuba meletakkan kesalahan kepada pembantu kedai warga asing.
“Ada juga kes salah kira bahagian ekor bawal dicaj RM15 tetapi harga sebenar RM8, bila kena dibuat aduan mereka kata silap, itu semua alasan,” ujarnya.