PETALING JAYA – Polis menjumpai beg tangan wanita dipercayai milik Nur Farah Kartini Abdullah, 25, sewaktu operasi pencarian dilakukan di Sungai Trolak, Kampung Batu, Perak.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan berhubung penemuan bahan bukti terbaharu itu.
“Ya. Beg tangan wanita itu dipercayai kepunyaan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan operasi pencarian bahan bukti kes pembunuhan kejam Nur Farah Kartini diteruskan di sebuah lagi lokasi yang terletak kira-kira 20 minit dari Kampung Sri Kledang.
Hussein berkata, operasi itu bagi mencari bahan bukti dipercayai barangan peribadi milik bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Polis menemui telefon pintar dipercayai milik mangsa yang dibuang di lokasi penemuan mayat di dalam parit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.
Suspek lelaki berusia 26 tahun dibawa ke lokasi kejadian dipercayai bagi membantu pihak berkuasa mengesan barang bukti di lokasi tersebut.
Lan koperal yang bertugas di Perak itu tiba dengan dikawal ketat beberapa anggota polis.
Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 22 Julai ini untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE