SETIU – Seorang peniaga wanita maut manakala anak lelakinya cedera ringan selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan termasuk lori dan bas persiaran di Kilometer 35, Jalan Pantai Kuala Terengganu – Kampung Raja berhampiran Lembah Bidong di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 12.50 tengah hari itu, mangsa, Nik Nabilah Nik Abdul Ghaffar, 36, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Anaknya, Wan Muhammad Aqil Wan Zulkhairi, 16, yang berada di tempat duduk penumpang belakang pula mengalami luka pada bahagian tangan kanan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, Nik Nabilah dan Wan Muhammad Aqil dikatakan dalam perjalanan ke Wakaf Tembusu, Kuala Nerus dari rumah mereka di Jerteh, Besut.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan pelbagai guna, Toyota Avanza dinaiki mereka dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bergesel dengan sebuah lori.
“Impak perlanggaran tersebut, kenderaan Toyota Avanza tersebut kemudiannya bertembung dengan bahagian hadapan sebuah bas persiaran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Zain berkata, pemandu lori dan bas persiaran serta kelindan yang masing-masing berusia 28, 51 dan 57 tahun terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Tambah beliau, mayat Nik Nabilah telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk tindakan lanjut manakala anak sulung mangsa (Wan Muhammad Aqil) yang cedera ringan pula menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama. – KOSMO! ONLINE