fbpx

Pendekatan quintuple helix pacu pertumbuhan industri bioteknologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lih Kang (tengah) hadir pada Majlis Pertukaran Dokumen dan Pelancaran Produk Syarikat Berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator.

KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia disarankan untuk bekerjasama melalui pendekatan quintuple helix bagi memastikan negara kekal kompetitif di peringkat global.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, pendekatan itu yang melibatkan kerjasama erat antara pihak kerajaan, industri, akademia dan masyarakat sivil dengan mengutamakan penjagaan alam sekitar, dapat memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan industri bioteknologi di negara ini.

Beliau berkata, langkah itu mampu meningkatkan kapasiti teknologi tempatan seterusnya menempatkan Malaysia dalam kalangan 30 ekonomi teratas dalam Indeks Inovasi Global (GII) menjelang tahun 2025.

“Melihat kepada kerjasama yang dijalin pelbagai pihak serta produk-produk inovatif yang dilancarkan pada majlis ini, saya yakin kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamat Dasar Bioteknologi Negara 2.0, iaitu membangunkan 30 peratus syarikat berstatus BioNexus di peringkat global dan 70 peratus lagi di peringkat tempatan.

“Sehingga kini, 16 syarikat bioteknologi telah disenaraikan di bursa saham Malaysia, Taiwan, Nasdaq, Hong Kong, dan Australia,” katanya semasa merasmikan majlis pertukaran dokumen dan pelancaran produk oleh syarikat-syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA) di National Bioeconomy Showcase 2024 (NBiOSHOWCASE 2024) di sini hari ini.

Lih Kang berkata, melalui sokongan padu dari agensi MOSTI, Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), usaha-usaha akan diperhebatkan lagi untuk menjayakan kerjasama quintuple helix bagi membantu lebih banyak syarikat bioteknologi mencapai kejayaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Terdahulu, dalam majlis tersebut Lih Kang turut menyaksikan pertukaran lima dokumen kerjasama antara penggiat-penggiat industri bioteknologi antaranya ialah pembuatan baja bio pertama dengan penekanan kepada pengiraan karbon dan amalan kelestarian oleh IBG Manufacturing dan Xiamen University Malaysia.

Selain itu, beliau turut menyaksikan pelancaran lima jenis produk oleh syarikat-syarikat berstatus BioNexus dan BBA. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI