fbpx

Pas dicabar bertanding PRK Nenggiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Puad.

PETALING JAYA – Pas dicabar supaya meletakkan calon sendiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, dengan demikian Nenggiri akan jadi medan beradu kekuatan antara Pas dengan UMNO.

“Pas dicabar letak calon sendiri di Nenggiri. Kenapa beri (laluan meletakkan calon) pada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

“Mungkin calon Bersatu akan buat hal lagi macam Azizi (bekas ADUN Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim),” sindirnya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 28 Jun lalu menetapkan PRK DUN Nenggiri diadakan pada 17 Ogos depan.

Ia berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd. Azizi diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos tahun lalu menyaksikan Mohd. Azizi yang bertanding atas tiket Pas menang dengan majoriti 810 undi.

Beliau yang memperoleh 6,517 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Ab. Aziz Yusoff yang memperolehi 5,707 undi.

Bagaimanapun, Mohd Azizi pada 7 November 2023 mengisytiharkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd. Puad seterusnya berkata, Pas wajar mendenda Bersatu kerana tindakan Mohd. Azizi menyebabkan PRK DUN Nenggiri terpaksa diadakan.

“Pas patut tuntut ganti rugi dengan minta kerusi (DUN) Nenggiri. Apa lagi Azizi masih kekal MP (Ahli Parlimen) Gua Musang yang menang atas tiket Pas.

“Sebelum ini semua PRK dimenangi oleh parti “incumbent” atau status quo. Maka biar Nenggiri jadi medan beradu kekuatan siapa rampas kerusi siapa antara Pas dengan UMNO,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI