SUNGAI BULOH – Kerajaan menawarkan khidmat kaunseling kepada ahli keluarga Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang maut dipercayai dibunuh oleh kenalannya baru-baru ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, pihaknya bersedia memberi bantuan dalam bentuk psikososial bagi menangani rasa trauma yang dihadapi oleh keluarga Allahyarham.
“Kami menawarkan perkhidmatan psikososial ataupun kaunseling kepada ahli keluarga.
“Kedatangan saya ke sini juga untuk menyampaikan ucapan takziah daripada Ahli-ahli Parlimen khususnya Menteri Kesihatan.
“Saya berjumpa dengan ahli keluarga mangsa untuk menenangkan mereka dan ketika ini keadaan ibu dan abang-abang mangsa dalam keadaan bersedih,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Lukanisman tiba di pekarangan Unit Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini sekitar pukul 12.15 tengah hari tadi.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan jenazah Nur Farah akan dikebumikan di Pekan, Pahang selepas selesai proses tuntutan oleh pihak keluarga.
Abang mangsa, Mohd. Farriza Amir, 28, berkata, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid As-Syakirin, Kampung Tanjung Selangor.
“Jenazah kemudiannya akan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Bentan, Pekan,” katanya.
Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai 204, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan dan mayatnya dijumpai oleh pihak polis di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang, Isnin lalu.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak telah ditahan dan direman sehingga 22 Julai depan untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE