KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan tidak membuat spekulasi berhubung hukuman denda RM100 yang dikenakan terhadap wanita dikaitkan dalam kes buli siber terhadap pempengaruh Rajeswary Appahu atau Esha, 16 Julai lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pertuduhan dibuat berdasarkan bukti-bukti yang diperoleh sewaktu siasatan dilakukan.
Jelasnya, denda dikenakan sebanyak RM100 merupakan hukuman maksimum bagi peruntukkan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
“Seorang wanita telah dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan penama yang dituduh mengaku bersalah dijatuhkan hukuman RM100.
“Itu denda maksimum, bukan kata mengapa (denda) RM100. Evidence (bukti) yang ada itulah membolehkan pertuduhan Seksyen 14, orang pertikai kenapa kita tuduh seksyen 14, kalau bukti strong (kuat), yang itu sahaja kita tuduh,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Kelmarin, Kosmo! melaporkan, seorang wanita yang dikaitkan dalam kes buli siber terhadap pempengaruh Rajeswary Appahu atau Esha didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat.
Majistret Arunjothy M. Selvaraju menjatuhkan hukuman itu terhadap Shalini Periasamy, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.
Mengulas lanjut, Rusdi menegaskan pihaknya sentiasa bersedia untuk menyiasat jika menerima laporan dan petunjuk baharu.
“Sama ada wujud bukti atau tidak kita akan rujuk untuk pertuduhan. Mereka yang terlibat akan dipanggil bergantung kepada kesesuai masa,” katanya. – KOSMO! ONLINE