Assalamualaikum, saya ingin bertanya, apakah hukumnya jika kita melangkah atas kubur Muslim yang lain sewaktu menziarahi tanah perkuburan? Adakah perbuatan ini dikira sebagai berdosa atau tidak? Mohon pencerahan.
JAWAPAN: Menziarahi tanah perkuburan merupakan salah satu daripada amalan yang dianjurkan dalam Islam. Secara lazimnya, pelaksanaan amalan ini bertujuan mengunjungi pusara ahli keluarga, kaum kerabat, sahabat atau sesiapa sahaja yang telah meninggal dunia bertujuan mendoakan keampunan serta kesejahteraan mereka.
Tanah perkuburan adalah salah satu kawasan yang perlu dihormati dan suasana ketika menziarahinya pula mestilah berlangsung dalam keadaan tawaduk dan penuh keinsafan.
Perkara ini bertepatan dengan firman Allah SWT: “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati).”
Di samping itu, terdapat juga beberapa hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan adab-adab ketika menziarahi kubur dan sewaktu berada di tanah perkuburan. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Baginda SAW bersabda: “Jika salah seorang kalian duduk di atas bara dan membakar pakaiannya sehingga membakar kulitnya lebih baik daripada dia duduk di atas kubur.” (Riwayat Muslim)
Sheikh Muhammad al-Son’ani ketika menjelaskan maksud hadis ini menyebut bahawa larangan daripada hadis ini jelas menegaskan perbuatan duduk di atas kubur adalah haram. Rasulullah SAW juga menunjukkan sikap tegas Baginda dalam mengajarkan para sahabat mengenai adab-adab ketika berada di tanah perkuburan.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Basyir, beliau menceritakan kisah sewaktu berada dalam perjalanan bersama Rasulullah SAW di sebuah tanah perkuburan umat Islam. Pada ketika itu, muncul seorang lelaki yang melintasi tanah perkuburan dengan memakai kasut.
Baginda SAW kemudian menyeru dan menyuruh lelaki berkenaan supaya membuka kasut. Lelaki tersebut kemudian menoleh lalu mengenali bahawa suara itu ialah suara Rasulullah SAW, lantas terus membuka dan mencampakkan kasutnya.
Sementara perbuatan melangkah kubur menunjukkan sifat kurang beradab yang dipenuhi dengan unsur kelalaian, malah bertentangan dengan perintah Allah SWT sewaktu berada di tanah perkuburan.
Setiap Muslim seharusnya menjaga adab dan tingkah laku ketika berada di tanah perkuburan kerana ia menjadi simbol bagi memperingati soal kematian dan mendorong manusia ke arah keinsafan kepada Allah SWT.
Muslim juga perlu menghormati kubur Muslim lain kerana mereka juga merupakan golongan yang mulia di sisi Allah SWT. Sementara perbuatan melangkah kubur menunjukkan sifat kurang beradab yang dipenuhi dengan unsur kelalaian, malah bertentangan dengan perintah Allah SWT sewaktu berada di tanah perkuburan.