IPOH – Bekas Pengurus besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tambun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan salah guna kuasa bagi mendapatkan suapan RM7,400, empat tahun lalu.
Tertuduh, Wan Khairul Faizee Wan Zulkifli, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak yang ketika itu bertugas sebagai Pengurus Besar PPK Tambun didakwa telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi diri sendiri apabila meluluskan baucar bayaran kepada Syarikat WIA Management and Services.
Pembayaran baucar bagi pembekalan satu unit komputer tablet Microsoft Surface Pro 7 berjumlah RM7,400 melalui invois No:201111 bertarikh 16 November 2020 itu dibuat kepada syarikat tersebut yang juga dimiliki isteri tertuduh, Ruzlin Hafinaz Redzuan.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Pejabat PPK Tambun di Ipoh pada 16 November 2020.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Pahmi Ahmad mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM terdekat pada setiap bulan. – KOSMO! ONLINE