KEPUTUSAN Kim Pan-gon melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih Harimau Malaya secara tiba-tiba kelmarin seakan mengheret arena bola sepak negara ke titik terbawah terutamanya selepas industri itu sering dipalit dengan pelbagai isu negatif.
Daripada sudut pandang peminat, tindakan jurulatih dari Korea Selatan itu untuk ‘bercerai’ dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkuatkuasa serta-merta dilihat menjadi klimaks kepada ‘barah’ yang sedang dihadapi arena bola sepak negara.
Berita mengejut itu hadir selepas Malaysia turut dipalit isu tunggakan gaji di kalangan pasukan tempatan, malah FAM juga sedang dihimpit kegagalan membabitkan pasukan bawah umur.
Rentetan kegagalan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) di Piala Asia B-23 2024 dan skuad B-16 di Piala AFF B-16, aspek pembangunan bakat muda pasti menjadi perkara utama yang akan dibangkitkan bagi memastikan kesinambungan dibawa Pan-gon dapat diteruskan.
Cerita kurang enak itu seperti ‘membuka pekung’ kepada permasalahan yang melanda bola sepak negara dan FAM tiada jalan lain kecuali melihat secara menyeluruh bagi memperbaikinya dengan kadar segera.
Bagi jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim berkata, hakikatnya agak sukar untuk FAM mencari pengganti lebih baik atau pun menyamai apa yang dilakukan oleh Pan-gon.
“Nak cari sama dengan Pan-gon mungkin ambil masa. Walaupun dia kata alasan peribadi, dia juga fikir tentang masalah pemain tidak terima gaji mungkin beri kesan kepada prestasi.
“Soal kriteria jurulatih selepas ini adalah lebih baik dari Asia atau (Amerika) Latin. Saya kurang bersetuju dengan jurulatih dari Eropah dan kita juga kena kurangkan pemain naturalisasi,” katanya.
Kenyataan Irfan berasas memandangkan dua jaguh utama Asia Tenggara, Thailand dan Vietnam turut menggunakan kepakaran jurulatih Asia iaitu Masatada Ishii (Jepun) serta Kim Sang-sik (Korea Selatan).
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, Malaysia perlu keluar daripada mimpi indah bersama Pan-gon dan memberikan masa kepada pengendali sementara, Pau (Marti Vicente) menerajui Harimau Malaya.
“Orang yang akan ganti (Pan-gon) pun sudah tahu caranya dan bagi saya untuk sementara ini tidak ada masalah kecuali jika ada jurulatih baharu. Kita tidak begitu terdesak untuk dapatkan jurulatih baharu dan kita tidak perlu terlalu memikirkan untuk dapatkan pengganti secepat mungkin.
“Adakah kita ada ramai pemain berkualiti? Kita juga tahu liga kita tidak kompetitif, tidak ada pemain bagus dan saya rasa itulah sebab kenapa Pan-gon lari. Bawalah jurulatih hebat pun, kalau jumlah pemain berkualiti tidak cukup pun akan jadi susah,” jelasnya.