fbpx

‘Apa saya tak pernah kena? Santau, busung, turun darah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AISHAH mendedahkan kerap diserang penyakit misteri sepanjang empat dekad bergelar anak seni.

KUALA LUMPUR – Pernah diserang penyakit misteri, Datuk Aishah mengakui berdepan pelbagai pengalaman mistik dalam tempoh empat dekad bergelar anak seni yang mengakibatkannya menderita.

Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 59, berkata ‘serangan’ yang menjejaskan kesihatan itu juga membuatkannya enggan lagi menyertai mana-mana program realiti kecuali di luar negara.

“Saya terlalu menderita disebabkan itu (sihir), tapi benda ini kita tak masuk ICU (Unit Rawatan Rapi), jadi tak boleh nak ceritalah. Cerita pun nanti ada orang kata tak betul.

“Benda tak jadi depan mata, yang tiada sijil mengatakan ini sakit tapi jawapan pendeknya, ya saya pernah ‘terkena’. Banyak sangat, kalau ada masa untuk tulis pengalaman memang boleh dibukukan.

“Apa penyakit yang saya tak pernah rasa? Santau, busung dan turun darah berbulan-bulan, itu semua saya dah kena tapi Allah tunjukkan orang buat macam mana pun belum masa saya ‘pergi’,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menurut penyanyi Janji Manismu itu, dalam era masa kini sewajarnya semua individu dalam mana-mana lapangan termasuk penyanyi bertanding secara sihat atau jangan mengamalkan perkara khurafat semata-mata ingin nampak hebat.

“Sebenarnya perlu ubah mentaliti kita. Kita sudah maju, tapi tahap pemikiran masih di belakang. Kalau masuk bertanding bersainglah secara sihat dengan kebolehan dan bakat yang Allah bagi.

“Cuma kadang-kadang bila kita bercerita sangat, ada pula tak percaya, ada pula tersenyum sinis. Tapi yang tahu saja tahu, siapa yang sudah terserempak dengan saya pergi berubat dan sebagainya, mereka tahu.

“Nak cerita pun susah sebab kita pun tak tahu siapa musuh atau dia ada ‘spy’,” ujarnya pada pelancaran lagu Di Pinggir Kayangan, nyanyian asal Allahyarham Datuk Sharifah Aini, hari ini.

Berkongsi penerbitan lagu tersebut, Aishah berkata rakaman direalisasikan kerana meminati karya dan nyanyian Biduanita Negara yang juga idolanya selain mahu generasi masa kini mengenali dendangan berkualiti.

“Saya dibesarkan dengan lagu Sharifah Aini. Saya meminati suara beliau dan pernah berpeluang berkongsi pentas dengan arwah.

“Di Pinggir Kayangan adalah sebuah seleksi cinta yang mempunyai semangat positif dan sarat lenggok keMelayuan, sangat merdu dan penuh makna.

“Seleksi seperti ini yang harus diperkenalkan semula kepada generasi sekarang dan bermakna buat saya kerana mengingatkan saya kepada idola saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI